Saturday, July 17, 2010

srikandi-iii

Dan melalui Hajarlah Shahrel berkenalan dengan Naim, seorang pelajar jurusan perubatan. Rakan sebilik Hajar, Naim berketurunan Palestin. Dia istimewa orangya. Perjuangan rakyat Palestin di tanah air mereka amat dekat dengan jiwa Naim. Api perjuangan itulah yang mewarnai perwatakannya. Ramai kaum keluarga Naim telah terkorban dan sedang berkorban nyawa bagi membebaskan tanah air tercinta dari belenggu besi Yahudi. Ayahnya sendiri sedang meringkuk dalam penjara Israel yang tidak ketahuan letaknya. Ibu Naim telah kembali ke rahmatullah hampir sedekad yang lalu meninggalkan Naim dua beradik dengan ayah tercinta.

Bukan mudah untuk mendekati Naim. Dia pendiam tetapi berjiwa keras. Ramai jejaka Arab yang membatalkan niat masing-masing terhadap beliau. Tetapi Shahrel yakin tujuannya murni. Niatnya cuma satu-mendalami sebaik mungkin pahit getir perjuangan rakyat Palestin melalui Naim. Darah yang mengalir di tubuh Naim adalah percikan darah syuhada. Denyut nadi Naim adalah dari getaran jiwa ribuan kaum ibu Palestin yang kehilangan suami dan anak tercinta yang dilepaskan dengan rela hati demi maruah dan agama.

Dari perbincangan mereka bertiga, tahulah Shahrel bahawa ayah Naim adalah orang kuat Syeikh Ahmad Yassin, seorang ulama lumpuh yang menggugat kekuatan Yahudi. Ulama inilah yang meniupkan semangat jihad ke dada rakyat Palestin agar bangun menentang keangkuhan regim Zionis yang kian bongkak menongkat langit. Dari balik gerigi besi penjara yang melingkarinya, di atas kerusi roda beliau terus menyemarakkan gerakan intifadhah. Rakan-rakan seperjuangannya yang sama-sama mempelopori intifadhah semenjak 1987 lagi tidak pernah menghampakan beliau.

No comments:

LinkWithin

related posts with thumbnails