Sabtu, 17 Julai 2010

Srikandi Abadi..

Perjalanan pada waktu malam sebegini kadang-kadang mengundang kebosanan. Kebanyakan penumpang lena dibuai mimpi. Dengkur-dengkur kecil kedengaran di sana sini. Ada juga yang asyik khusyuk membaca dan tak kurang pula yang mengelamun melayan perasaan masing-masing. Di luar sana langit hitam memekat dihiasi bintang-bintang yang bertaburan. Kerdipan bintang-bintang itu menari-nari mengikut rentaknya sendiri, menambahkan lagi pesona keheningan malam.

Sesekali pramugari lalu ke sana ke mari. Membetulkan selimut yang terjatuh atau menghiburkan anak-anak kecil yang tidak tenteram. Walaupun tubuh lesu menahan letih, namun senyum tetap meniti di bibir. Tanggungjawab tetap dilaksanakan.

Di sudut sana, Shahrel termenung seorang diri. Kerusi di sebelahnya kosong tanpa penumpang. Menerusi jendela pesawat, matanya menikmati panaroma indah ciptaan tuhan. Jiwanya asyik menghayati suatu kesenian alam yang tak termampu dihuraikan oleh bahasa manusia. Lambang keagungan penciptaNya, seagung-agung Pencipta. Langit yang siangnya kosong membiru atau kadang kala dicelahi awan dengan segala bangsanya. Rupa-rupanya menyerlahkan segala keanggunannya pada malam hari yang sunyi. Hanya manusia yang halus perasaan dan mahu mengerti sahaja yang akan tenggelam diulit rasa kekerdilan diri.

Tiada ulasan:

LinkWithin

related posts with thumbnails