Saturday, July 17, 2010

srikandi-ii

Pun begitu, segala keindahan itu hanya mampu bertapak sebentar sahaja di kalbu Shahrel. Fikirannya menerawang jauh melewati tembok waktu. Detik-detik yang ditinggalkan begitu membekas dalam jiwanya. Meninggalkan suatu kenangan yang sukar dihakis dari sudut ingatan. Pelbagai perasaan - sedih, gembira, rindu dan sayu menyebabkan tali-tali kenangan itu sebenarnya suatu nikmat yang hanya terasa di tabir sanubari.

Tiga tahun Shahrel mendambakan diri di Jordan atau lebih tepatnya di Universiti Amman Jordan. Menghalusi dan mendalami bahasa Arab. Mengikut perjanjian dengan JPA, dia harus mencurahkan ilmunya nanti kepada anak bangsa sekembalinya ke tanah air.

Tidak pernah terlintas langsung di benaknya untuk menghadapi suatu realiti yang penuh pancaroba ini. Di Jordan, di samping mengkhusus dalam pengajian bahasa Arab, Shahrel mengambil subjek elektif Sejarah Moden Asia Tengah. Topik ini sememangnya menjadi minat Shahrel sebelum ke tanah Arab lagi. Segala pergolakan yang berlaku di sini, khususnya perseteruan Arab-Israel sentiasa diikutinya.

Tidak ramai rakan sekelas Shahrel yang mengambil subjek ini. Banyak pilihan lain yang ditawarkan memandangkan pelbagai latar belakang pelajar yang datang dari pelbagai negara. Hampir tiga perempat dari rakan sekelasnya itu adalah pelajar luar dari Jordan. Kebanyakannya rakyat Asia dan Eropah. Cuma lima orang sahaja yang sama kecenderungan dengan Shahrel.

Dan salah seorang daripada mereka ialah Hajar, rakyat tulin Jordan. Shahrel agak rapat dengannya dalam batas dan norma berperadaban murni. Sesuai dengan prinsip yang menancapi jiwa seorang muslim. Hajar agak terkehadapan dalam akademik. Jadi banyaklah perkara yang perlu dirujuk kepadanya.

No comments:

LinkWithin

related posts with thumbnails