Perjalanan pada waktu malam sebegini kadang-kadang mengundang kebosanan. Kebanyakan penumpang lena dibuai mimpi. Dengkur-dengkur kecil kedengaran di sana sini. Ada juga yang asyik khusyuk membaca dan tak kurang pula yang mengelamun melayan perasaan masing-masing. Di luar sana langit hitam memekat dihiasi bintang-bintang yang bertaburan. Kerdipan bintang-bintang itu menari-nari mengikut rentaknya sendiri, menambahkan lagi pesona keheningan malam.
Sesekali pramugari lalu ke sana ke mari. Membetulkan selimut yang terjatuh atau menghiburkan anak-anak kecil yang tidak tenteram. Walaupun tubuh lesu menahan letih, namun senyum tetap meniti di bibir. Tanggungjawab tetap dilaksanakan.
Di sudut sana, Shahrel termenung seorang diri. Kerusi di sebelahnya kosong tanpa penumpang. Menerusi jendela pesawat, matanya menikmati panaroma indah ciptaan tuhan. Jiwanya asyik menghayati suatu kesenian alam yang tak termampu dihuraikan oleh bahasa manusia. Lambang keagungan penciptaNya, seagung-agung Pencipta. Langit yang siangnya kosong membiru atau kadang kala dicelahi awan dengan segala bangsanya. Rupa-rupanya menyerlahkan segala keanggunannya pada malam hari yang sunyi. Hanya manusia yang halus perasaan dan mahu mengerti sahaja yang akan tenggelam diulit rasa kekerdilan diri.
Pun begitu, segala keindahan itu hanya mampu bertapak sebentar sahaja di kalbu Shahrel. Fikirannya menerawang jauh melewati tembok waktu. Detik-detik yang ditinggalkan begitu membekas dalam jiwanya. Meninggalkan suatu kenangan yang sukar dihakis dari sudut ingatan. Pelbagai perasaan - sedih, gembira, rindu dan sayu menyebabkan tali-tali kenangan itu sebenarnya suatu nikmat yang hanya terasa di tabir sanubari.
Tiga tahun Shahrel mendambakan diri di Jordan atau lebih tepatnya di Universiti Amman Jordan. Menghalusi dan mendalami bahasa Arab. Mengikut perjanjian dengan JPA, dia harus mencurahkan ilmunya nanti kepada anak bangsa sekembalinya ke tanah air.
Tidak pernah terlintas langsung di benaknya untuk menghadapi suatu realiti yang penuh pancaroba ini. Di Jordan, di samping mengkhusus dalam pengajian bahasa Arab, Shahrel mengambil subjek elektif Sejarah Moden Asia Tengah. Topik ini sememangnya menjadi minat Shahrel sebelum ke tanah Arab lagi. Segala pergolakan yang berlaku di sini, khususnya perseteruan Arab-Israel sentiasa diikutinya.
Tidak ramai rakan sekelas Shahrel yang mengambil subjek ini. Banyak pilihan lain yang ditawarkan memandangkan pelbagai latar belakang pelajar yang datang dari pelbagai negara. Hampir tiga perempat dari rakan sekelasnya itu adalah pelajar luar dari Jordan. Kebanyakannya rakyat Asia dan Eropah. Cuma lima orang sahaja yang sama kecenderungan dengan Shahrel.
Dan salah seorang daripada mereka ialah Hajar, rakyat tulin Jordan. Shahrel agak rapat dengannya dalam batas dan norma berperadaban murni. Sesuai dengan prinsip yang menancapi jiwa seorang muslim. Hajar agak terkehadapan dalam akademik. Jadi banyaklah perkara yang perlu dirujuk kepadanya.
Dan melalui Hajarlah Shahrel berkenalan dengan Naim, seorang pelajar jurusan perubatan. Rakan sebilik Hajar, Naim berketurunan Palestin. Dia istimewa orangya. Perjuangan rakyat Palestin di tanah air mereka amat dekat dengan jiwa Naim. Api perjuangan itulah yang mewarnai perwatakannya. Ramai kaum keluarga Naim telah terkorban dan sedang berkorban nyawa bagi membebaskan tanah air tercinta dari belenggu besi Yahudi. Ayahnya sendiri sedang meringkuk dalam penjara Israel yang tidak ketahuan letaknya. Ibu Naim telah kembali ke rahmatullah hampir sedekad yang lalu meninggalkan Naim dua beradik dengan ayah tercinta.
Bukan mudah untuk mendekati Naim. Dia pendiam tetapi berjiwa keras. Ramai jejaka Arab yang membatalkan niat masing-masing terhadap beliau. Tetapi Shahrel yakin tujuannya murni. Niatnya cuma satu-mendalami sebaik mungkin pahit getir perjuangan rakyat Palestin melalui Naim. Darah yang mengalir di tubuh Naim adalah percikan darah syuhada. Denyut nadi Naim adalah dari getaran jiwa ribuan kaum ibu Palestin yang kehilangan suami dan anak tercinta yang dilepaskan dengan rela hati demi maruah dan agama.
Dari perbincangan mereka bertiga, tahulah Shahrel bahawa ayah Naim adalah orang kuat Syeikh Ahmad Yassin, seorang ulama lumpuh yang menggugat kekuatan Yahudi. Ulama inilah yang meniupkan semangat jihad ke dada rakyat Palestin agar bangun menentang keangkuhan regim Zionis yang kian bongkak menongkat langit. Dari balik gerigi besi penjara yang melingkarinya, di atas kerusi roda beliau terus menyemarakkan gerakan intifadhah. Rakan-rakan seperjuangannya yang sama-sama mempelopori intifadhah semenjak 1987 lagi tidak pernah menghampakan beliau.
Lalu saban minggu meletuslah pertempuran berat sebelah antara pejuang Palestin dengan tentera Zionis. Peluru batu bertingkah dengan peluru timah panas. Pertembungan antara yang hak dengan yang batil, antara keadilan dengan kesombongan, antara darah dan air mata dengan ketawa bongkak bangsa laknatullah.
Ayah Naim; Sidik adalah orang harapan Syeikh Ahmad Yassin. Pengalamananya yang luas dalam teknologi maklumat telah digunakan sebaik-baiknya untuk menyatukan gerakan yang merobek-robekkan kemegahan Zionis. Sidik juga menggunakan kemahirannya untuk mencuri maklumat-maklumat rahsia tentera dan kerajaan untuk melakukan counter-attack yang melumpuhkan sebahagian kekuatan Israel.
Tetapi benarlah Allah mahu menguji hambaNya. Biar terbukti siapa yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan. Lantas suatu ketika seorang pembelot telah mendedahkan kegiatan dan peranan Sidik. Pembelot yang kenyang dengan habuan dunia itu tersenyum senang atas kesengsaraan saudaranya sendiri.
Telah tiga tahun ayah Naim ditahan di penjara rahsia. Setakat ini usaha untuk mengesannya belum berhasil. Namun begitu, usaha menjejakinya tetap diteruskan.